CACERES (tiga kanan) dan Mohamed Salah (empat kanan) ketika saingang antara Mesir dan Russia. FOTO Reuters
CACERES (tiga kanan) dan Mohamed Salah (empat kanan) ketika saingang antara Mesir dan Russia. FOTO Reuters
Reuters

MESIR akan membuat bantahan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung prestasi pengadil Paraguay, Enrique Caceres yang dianggap berat sebelah ketika menentang tuan rumah, Russia di St Petersburg, Selasa lalu.

"Kami mahu siasatan dilakukan ke atas prestasi pengadil secara keseluruhan," kata Presiden Persatuan Bolasepak Mesir, Hany Abo Rida hari ini.

Mesir tewas 1-3 pada perlawanan itu yang juga kekalahan kedua berturut-turut sekali gus tersingkir awal pada penampilan pertama mereka pada Piala Dunia sejak 1990.

Abo Rida, yang juga ahli Majlis FIFA mendakwa pertahanan Mesir, Ahmed Fathi ditolak ketika cuba mengeluarkan bola sebelum tertolak masuk ke dalam gawang sendiri untuk membolehkan Russia mendahului, dua minit selepas babak kedua bersambung.

Dia juga mendakwa sepatutnya penalti dianugerahkan kepada Mesir selepas penyerang Marwan Mohsen, dikasari pertahanan Russia Ilya Kutepov pada minit ke-78. 

Ketika insiden itu, Mesir ketinggalan 3-1.

"Pengadil sepatutnya merujuk kepada Pengadil Bantuan Video (VAR) dan menganugerahkan sepakan penalti. Semua melihat Fathi dikasari. Jadi, ini adalah hak kami untuk membuat aduan dan meminta siasatan dijalankan,” katanya.

Mesir akan melengkapkan kempen Kumpulan A menentang Arab Saudi dalam pertembungan dua pasukan yang sudah tersingkir di Volgograd, Isnin ini.

"Saya tahu penyokong Mesir kurang gembira dengan keputusan kami di sini tetapi ini adalah penampilan pertama kami dalam kejohanan terulung ini sejak 28 tahun lalu. Kami kurang pengalaman,” kata Abo Rida.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 6:21 PM