JURULATIH Real Madrid, Julen Lopetegui. FOTO Reuters
JURULATIH Real Madrid, Julen Lopetegui. FOTO Reuters
Reuters

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Julen Lopetegui berkata beliau sudah melupakan pemecatan kontroversinya daripada skuad kebangsaan Sepanyol yang mematikan peluangnya bersaing di Piala Dunia.

Lopetegui dipecat oleh Persekutuan Bolasepak Sepanyol sehari sebelum Piala Dunia Russia membuka tirainya apabila membuat pengumuman perpindahannya ke Real tanpa pengetahuan badan induk berkenaan.

“Ia keputusan yang mudah untuk saya dan saya akan melakukan perkara yang sama jika ia berlaku sekali lagi. Saya melakukannya dengan cara paling jujur dan saya tidak menyesalinya,” kata Lopetegui menerusi stesen radio Sepanyol, Onda Cero, hari ini.

“Saya amat gembira melatih Real Madrid, kami mempunyai cabaran yang istimewa dan objektif yang hebat. Apa yang berlaku biar berlaku dan ia tidak boleh diubah.”

Sepanyol yang juga juara dunia 2010 menjadi salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2018 tetapi tersingkir di peringkat 16 terakhir kepada tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada majlis pengenalannya sebagai jurulatih Real sehari selepas dipecat, Lopetegui berkata: “Semalam hari paling buruk dalam hidup saya, hari ini adalah yang terbaik.

“Saya tidak akan menoleh ke belakang, saya menjelaskan bagaimana perasaan saya ketika majlis pengenalan saya dan saya masih merasakan perasaan yang sama.”

Sejak mengambil alih Real, Lopetegui membawa juara Eropah itu memenangi tiga kemenangan berturut-turut dalam kempen La Liga meskipun tewas kepada tetangga, Atletico Madrid dalam aksi Piala Super UEFA.

“Saya tidak bimbang bagaimana ia dijelaskan, saya tidak berfikir ke belakang. Ia sudah berakhir, kami menjelaskan bagaimana perasaan saya dan menegaskan yang kami melakukan perkara yang betul, iaitu berkata ya kepada Real. 

“Saya akan melakukannya sekali lagi. Penyokong Real perlu mengetahui saya dan pemain fokus sepenuhnya kepada kelab.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:36 PM