LEONG Jun Hao.
LEONG Jun Hao.
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Bintang muda negara, Leong Jun Hao sudah tidak sabar untuk membuat penampilan pertama pada saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Pemain berusia 19 tahun yang juga bekas juara remaja Asia itu dipilih bagi menggalas cabaran skuad negara di Bangkok bersama Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Selepas dinaikkan pangkat untuk berada dalam skuad senior tahun lalu, Jun Hao dilihat semakin menyerlah selain berjaya memikat hati ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

“Saya amat gembira kerana dipilih dalam skuad negara. Secara jujurnya, saya hanya tahu dipilih apabila ia diumumkan oleh BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Pada mulanya, kami tahu ia menjadi persaingan antara saya dengan beberapa pemain lain, tapi saya tidak meletakkan harapan tinggi. Saya hanya fokus untuk bermain dengan baik dan menghasilkan keputusan positif.

“Kini, saya sebahagian daripada skuad Piala Thomas. Menjadi impian saya untuk diberi peluang turun ke gelanggang dan menyumbang mata kepada pasukan,” kata Jun Hao yang turut layak ke final Kejohanan Remaja Dunia, tahun lalu.

Jun Hao tidak menunggu lama untuk mencapai kejayaan di peringkat senior apabila dia merangkul gelaran Terbuka Finland, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:01 AM