Kejayaan Jamie Vardy (gambar) di depan gol adalah antara kisah mengejutkan sepanjang Liga Perdana Ing­geris musim ini dan rahsia di sebalik prestasi penyerang Leicester itu mula terbongkar.

Pemain berusia 29 tahun itu yang beraksi dalam bola sepak bukan liga pada 2012, menjaringkan 16 gol dalam liga utama sepanjang musim ini.

Jurulatih kekuatan dan penyesuaian fizikal Leicester Matt Reeves memberikan bayangan apa yang dilakukan Vardy di sebalik tabir untuk mengekalkan fizikalnya di tahap kemuncak.

Permainan Vardy banyak bergantung kepada pecutan pantas di mana menurut Reeves, pemain England itu perlu lebih banyak masa pemulihan berbanding pemain lain.

“Jamie adalah pemain hebat yang bermain dengan kekuatan maksimum dalam perlawanan,” kata Reeves.

“Akibatnya, bahagian perubatan, sains sukan dan kejurulatihan masing-masing bersetuju dia memerlukan lebih banyak masa untuk pulih selepas setiap perlawanan berbanding rakan sepasukannya.

“Sebaik saja selepas perlawanan, fokusnya adalah mendapatkan makanan yang baik, susu dan suplemen protein, selain pek pemulihan termasuk Cherry Active yang mempunyai bahan anti-oksidan dan tablet Leucine untuk menyokong pemulihan otot.

“Sebaik kembali ke pusat latihan kelab dia menggunakan modaliti rawatan gabungan, menggunakan kaedah biasa seperti basikal pegun, foam roller, mandian panas-sejuk dan urutan malah turut memanfaatkan bilik Cryo yang baru dipasang Leicester City di mana pemain didedahkan pada suhu -135 darjah selsius.”

Jelas sekali semua itu memberikan impak dikehendaki terhadap Vardy yang pada awal musim menjaringkan gol dalam 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut untuk memecah rekod dicatat Ruud van Nistelrooy pada 2003.

Vardy menjalani pembedahan kecil pangkal paha pada awal tahun dan kembali diturunkan Claudio Ranieri, hanya terlepas satu perlawanan iaitu perlawanan Piala FA menentang Tottenham di White Hart Lane.

Vardy menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa gol Sabtu lalu apabila Leicester kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Stoke di Stadium King Power.

Bekas penyerang Fleetwood Town itu dilihat kembali ke tahap terbaik selepas kecederaan apabila meluru sebelum memperdayakan penjaga gol Stoke, Jack Butland sebelum meledak jaringan di gawang yang tidak diawasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 9:15 AM