ULLOA (tengah) rai jaringan penalti bersama rakan sepasukan.
ULLOA (tengah) rai jaringan penalti bersama rakan sepasukan.

Agensi

London: Jaringan penalti Leonardo Ulloa menyelamatkan Leicester City daripada diaibkan West Ham apabila seri 2-2 ketika Liverpool menewaskan Bournemouth 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Leicester yang semakin menghampiri cita-cita mereka bergelar penakluk Liga Perdana musim ini, bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan Hammers untuk pulang dengan hanya membawa satu mata.

Jamie Vardy sekali lagi muncul wira Leicester apabila meledak gol awal pada minit ke-18 yang menerima tepukan gemuruh daripada penyokong mereka di Stadium King Power.

Skuad kendalian Claudio Ranieri terus bertahan dengan jaringan itu hingga separuh masa kedua.

Namun, sebaik Vardy dibuang padang berikutan dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran membuatkan Foxes bagai hilang punca.

Kepincangan Leicester yang beraksi dengan 10 pemain dimanfaatkan sepenuhnya anak buah Slaven Bilic apabila Andy Carroll meledak penalti pada minit ke-84 berikutan kekasaran dilakukan Wes Morgan.

Lewat dua minit kemudian, giliran Aaron Cresswell pula menambah duka Leicester menerusi rembatan kaki kirinya.

Leicester bagaimanapun mendapat talian hayat apabila Ulloa memanfaatkan penalti hasil kekasaran dilakukan Carroll bagi membolehkan Foxes terus di puncak liga biarpun dengan 73 mata.

Sementara itu, Liverpool tidak berdepan masalah untuk menewaskan Bournemouth apabila jaringan Roberto Firminho dan Daniel Sturridge pada minit ke-41 dan 45 meletakkan mereka di depan.

Meskipun Bournemouth meledak gol saat akhir menerusi Joshua King, ia sudah terlalu lewat untuk menafikan kemenangan Liverpool yang berada di tangga kelapan dengan 51 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:34 AM