SOON Huat (kanan) dan Shevon tewaskan gandingan Kian Meng, Pei Jing buat kali ketiga. -Foto fail
SOON Huat (kanan) dan Shevon tewaskan gandingan Kian Meng, Pei Jing buat kali ketiga. -Foto fail
Fabian Peter


KATEGORI beregu campuran negara mungkin menyaksikan satu angin perubahan dalam masa terdekat.

Hari ini, beregu ke-13 dunia Goh Soon Huat-Shevon Lai buat kali ketiganya menewaskan rakan sepasukan yang berada di ranking lebih tinggi, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 15-21, 21-16, 21-16 untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan Masters Indonesia di Jakarta.

Ia penampilan separuh akhir kedua berturut-turut buat pasangan nombor dua negara itu musim ini selepas melangkah ke pusingan empat terbaik (susulan kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing pada suku akhir) Masters Malaysia di Bukit Jalil, minggu lalu.

Kemenangan pertama mereka ke atas rakan sepasukan itu adalah pada September lalu pada Terbuka Korea.

Seandainya Soon Huat-Shevon mara ke final Masters Indonesia Ahad ini, mereka mungkin menggantikan Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking ke-11 dunia selaku pasangan nombor satu kebangsaan yang baru.

“Pertamanya, saya percaya kami sudah meningkat dalam permainan kami. Kami lebih kuat dan seimbang,” kata Shevon.

“Namun, kami tidak memikirkan terlalu banyak mengenai ranking. Fokus kami adalah memperkemaskan permainan. Menjadikan setiap perlawanan sebagai pengalaman terbaik dan menikmati kerjasama antara kami berdua.”

Dengan kembalinya pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tahun ini, kategori beregu campuran negara dilihat sebagai antara yang terkuat sekiranya dibandingkan dengan kategori lain.

“Secara peribadi, saya masih berasa Peng Soon-Liu Ying adalah yang terbaik dimiliki Malaysia ketika ini, kerana pengalaman mereka. Apapun, ia akan memberi kami sesuatu yang perlu dilihat, menjadikan ia sumber motivasi kami untuk berusaha lebih gigih,” kata Shevon.

Pasangan negara itu akan bertemu pilihan keenam dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong bagi memburu tempat ke final.

Sementara itu dalam acara beregu lelaki, bekas gandingan nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kong ditunjuk jalan keluar apabila tumpas kepada juara dunia dari China, Liu Cheng-Zhang Nan 18-21, 22-20, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 9:30 PM