EVAN Dimas (kiri) dan Ilham Udin Armaiyn. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam & Owee Ah Chun.
EVAN Dimas (kiri) dan Ilham Udin Armaiyn. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam & Owee Ah Chun.
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Kehadiran semula dua tonggak import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn diharap dapat mengubah prestasi tidak menentu Selangor apabila berdepan PKNP FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menjelaskan dua pemain itu yang terlepas aksi berdepan Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini menyertai latihan bersama Red Giants sejak kelmarin.

“Saya harap mereka dapat membantu persembahan keseluruhan pasukan dan menunjukkan prestasi terbaik selepas tidak bersama kami dalam dua aksi sebelum ini.

“Mereka menyertai pasukan semalam dan saya lihat kedua-duanya berada dalam keadaan baik, malah bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa,” katanya.

Evan dan Ilham sebelum ini meninggalkan Red Giants buat seketika untuk menyertai skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia bagi menghadapi kejohanan Piala Ulang Tahun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Biarpun tanpa dua pemain muda itu, Selangor berjaya menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan sebelum tewas 0-2 kepada pendahulu liga, JDT di Larkin, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Nazliazmi berkata, pemainnya sudah melupakan episod duka di Larkin dan akan memberi fokus sepenuhnya untuk meraih tiga mata apabila melayan kunjungan PKNP di laman sendiri.

“Kami tahu PKNP pasukan yang tidak boleh dipandang rendah kerana mereka mempunyai kemampuan untuk menghukum kealpaan pasukan lawan.

“Selangor hanya ada dua hari untuk berlatih selepas aksi berdepan JDT dan saya lihat semua pemain sudah melupakan episod kekalahan kepada anak didik Raul Longhi.

“Tapi, saya menegaskan dan mengingatkan kepada pemain bahawa mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama yang dilakukan ketika bertemu JDT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 7:00 AM