GANDINGAN Pandalela dan Jun Hoong raih pingat gangsa acara 10 meter platform seirama pada Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Russia, hari ini. FOTO Arkib NSTP
GANDINGAN Pandalela dan Jun Hoong raih pingat gangsa acara 10 meter platform seirama pada Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Russia, hari ini. FOTO Arkib NSTP
Mohd Khairie Khalid


RATU terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong membuktikan mereka gandingan paling serasi apabila berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama pada Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Russia, hari ini.

Pandelela-Jun Hoong mengutip 318.54 mata dalam lima terjunan.

Pingat emas acara itu dimenangi Lin Shan-Si Yajie dari China dengan 324.24 mata, manakala perak milik Kim Mi Rae-Kim Kuk Hyang dari Korea Utara (320.58).

Menerusi laman Instagram, Pandelela menegaskan pencapaiannya dan pasangan Jun Hoong amat konsisten tahun ini dalam acara 10m platform seirama.

“Kami mendapat pingat gangsa di Kazan! Secara keseluruhan persembahan kami dalam acara 10m platform seirama dalam Siri Terjun Dunia adalah konsisten.

“Rasa bersyukur dan gembira dengan satu lagi pencapaian kerana ia kali pertama kami memenangi pingat berturut-turut dalam siri terjun dunia. Kini dalam persiapan untuk acara individu,” tulis penerjun dari Sarawak itu.

Sementara itu, Jun Hoong ketika dihubungi berkata, secara keseluruhan prestasinya adalah baik dan mereka dapat memenangi pingat dalam semua empat siri.

Minggu lalu, gandingan itu memenangi pingat emas pada pusingan ketiga Siri Terjun Dunia di Montreal, Kanada.

Pada pusingan pertama di Beijing, mereka meraih pingat perak manakala pada siri kedua di Fuji, Jepun, mereka merangkul pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:11 PM