PEMAIN peseorangan Malaysia, Zulfadli Zulkifli. FOTO Osman Adnan
Helmi Talkah


PERBUALAN antara Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang menerusi aplikasi WhatsApp menjadi salah satu bukti utama yang menjurus kepada terbongkarnya kegiatan kedua-dua pemain profesional badminton negara itu dalam mengatur perlawanan.

Terdahulu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan hukuman gantung 20 tahun kepada Zulfadli dan 15 tahun kepada Chun Seang berkuat kuasa 12 Januari lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain turut didenda masing-masing AS$25,000 (RM98,338) dan AS$15,000 (RM59,000).

Menurut laporan penuh tiga ahli panel bebas dilantik BWF yang diketuai James Kitching selain Sylvia Schenk dan Annabel Pennefather yang mengadili sesi pendengaran di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu, mendapati kedua-duanya terbabit mengatur perlawanan dalam enam kejohanan iaitu Grand Prix Emas Terbuka London 2013, GP Terbuka Belanda 2013, GP Emas Terbuka Korea, GP Terbuka Macau 2014, GP Terbuka Amerika Syarikat 2014 dan GP Emas Terbuka Brazil 2016.

Dalam laporan itu menyatakan BWF mengekstrak perbualan WhatsApp antara Zulfadli dengan Chun Seang melalui telefon pintar mereka.

Ia perbualan yang merangkumi tempoh 15 bulan antara 27 September 2013 hingga 12 Disember 2014.

“Seperti yang diterangkan oleh Andy Hines-Randle (Pengurus Unit Integriti BWF), perbualan itu diekstrak oleh syarikat yang khusus dalam pengekstrakan forensik data dari telefon mudah alih. Perbualan itu sebahagian besarnya dalam bahasa Melayu.

“Selepas mengenal pasti perbualan yang dipilih, BWF melantik syarikat untuk menterjemahkannya dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris bagi tujuan penyiasatan.

“Mereka kemudiannya memecahkan ia menjadi empat fail berasingan dengan tanda Perbualan#1, Perbualan#2, Perbualan#3 dan Perbualan#4,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 pertaruhan dan mengatur perlawanan manakala Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012.

Kegiatan mereka mula terbongkar selepas BWF menerima aduan daripada seorang pemain yang tidak didedahkan namanya yang mendakwa dihubungi oleh Zulfadli bagi tujuan mengatur perlawanan ketika Terbuka Brazil 2016 yang menjurus kepada siasatan dijalankan oleh badan induk badminton dunia itu.

Sementara itu, Zulfadli yang juga juara remaja dunia 2011, seolah-olah tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan oleh BWF itu.

Dia yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini bagi mendapatkan reaksi berhubung hukuman itu, mempersoalkan sama ada dia adalah mangsa atau tertuduh.

“Sudah semestinya saya akan memberikan komen berhubung keputusan ini dalam sehari dua lagi. Buat masa ini, saya sedang menenangkan fikiran saya tapi saya juga mahu semua orang tahu apa yang berlaku terhadap saya.

“Malangnya, BWF tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman mati atau tidak saya pasti mereka memutuskan pilihan itu. Beri saya sedikit masa dan saya akan mengadakan sidang media, #mangsa atau tertuduh?!,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 1:13 AM