DOLLAH SALLEH
DOLLAH SALLEH
Asrol Awang


DISPLIN tinggi yang ditunjukkan Pahang membantu skuad itu menewaskan Melaka United 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, komitmen anak buahnya terutama mempamerkan peningkatan pada babak kedua membantu skuad Tok Gajah meraih tiga mata.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut memuji barisan pemainnya walaupun masih lagi keletihan selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir Piala FA 20 April lalu.

“Biarpun pemain gagal beraksi pada tahap terbaik, kemenangan ke atas Melaka United seharusnya dibanggakan untuk merapatkan jurang dengan JDT selaku pendahulu liga ketika ini.

“Saya tetap berbangga kerana pemain bangkit mempamerkan prestasi lebih baik pada babak kedua dan berjaya menjaringkan dua gol,” katanya.

Dollah berkata, displin pemain yang tidak mengenal erti putus asa dan bangkit melakukan asakan ke kubu lawan pada babak kedua membuktikan kesungguhan dalam meraih kemenangan.

Katanya, kejayaan itu diharap dapat memberi lebih motivasi untuk mempamerkan prestasi lebih baik dan bertenaga, sekali gus misi berada di persada liga tercapai.

Pada perlawanan itu, kemenangan skuad Tok Gajah hasil daripada jaringan Patrick Cruz dan Faisal Halim, masing-masing pada minit ke-71 dan ke-90.

Kemenangan itu meletakkan skuad Tok Gajah menduduki tangga kedua Liga Super dengan memungut 14 mata daripada tujuh perlawanan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:08 PM