BALE (kanan) ledak gol pertama Real. FOTO/AFP
BALE (kanan) ledak gol pertama Real. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Gareth Bale menjaringkan satu gol ketika Real Madrid memanaskan badan bagi saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Rabu di Bayern Munich dengan kemenangan 2-1 mengatasi Leganes hari ini.

Bale membawa Real mencipta kelebihan awal sebelum Borja Mayoral mengambil kelebihan pertahanan lemah bagi menjadikan dua gol sebelum tamat babak pertama.

Pemain Serbia, Darko Brasanac memberikan Leganes harapan untuk bangkit tetapi Real menutup peluang itu dengan kemenangan walaupun bergelut pada babak kedua.

“Saya sangat gembira dengan apa ditunjukkan pemain saya hari ini, dengan 10 perubahan terhadap kesebelasan utama, dengan pemain yang tidak banyak bermain,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

“Kami tidak boleh gembira dengan apa yang kami sudah lakukan dalam liga secara keseluruhan. Kami hilang banyak mata pada permulaan, kemudian kami lebih baik tetapi ia boleh berlaku sepanjang musim.

“Kini kami perlu kembali bekerja keras, kami ada satu lagi perlawanan pada Selasa (awal pagi Rabu) yang menjadi perlawanan terhebat kami. Kami ada gelaran yang perlu dipertahankan.”

Real kekal di tangga ketiga liga, satu mata di belakang pencabar dari bandar yang sama, Atletico yang akan menentang Alaves awal pagi esok dengan Barcelona boleh memastikan gelaran La Liga jika mereka berupaya mengelak kekalahan di tangan Deportivo La Coruna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 5:33 AM