NADAL catat kemenangan ke-40 berturut-turut di atas gelanggang tanah liat. -Foto EPA
NADAL catat kemenangan ke-40 berturut-turut di atas gelanggang tanah liat. -Foto EPA
Reuters

JAGUH nombor satu dunia, Rafael Nadal mara ke suku akhir ATP Terbuka Barcelona selepas mengatasi rakan senegara Guillermo Garcia-Lopez 6-1 6-3 sekali gus merekodkan kemenangan ke-40 berturut-turut di atas gelanggang tanah liat.

Pilihan utama itu yang sudah memenangi kejohanan berkenaan sebanyak 10 kali, dijadualkan bertemu pemain Slovakia, Martin Klizan yang menyingkirkan Novak Djokovic di pusingan kedua.

Jaguh Sepanyol itu menayangkan penguasaannya apabila mendahului set kedua 4-1 tetapi memperlahankan permainan sebelum kembali menamatkan sisa-sisa perjuangan pencabarnya itu.

“Apabila saya mendahului 4-1, saya mengendurkan sedikit permainan tetapi secara keseluruhannya saya bermain baik,” kata Nadal.

“Saya berasa baik daripada awal, bermain dengan tempo yang tinggi berbanding semalam dan bermain di bawah tekanan serta lebih selesa dari semua sudut.”

Pilihan kedua, Grigor Dimitrov pula hampir dikejutkan sebelum menjinakkan pemain bukan pilihan dari Tunisia Malek Jaziri 7-5 3-6 7-6(8) untuk menempah pertemuan dengan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta.

Dominic Thiem yang juga naib juara edisi lalu turut mara ke kelompok lapan terakhir hasil kejayaan menumbangkan Jozef Kovalik dari Slovakia 7-6 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 9:34 AM