PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal meraikan kemenangan ke atas pemain Perancis, Corentin Moutet. FOTO AFP
PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal meraikan kemenangan ke atas pemain Perancis, Corentin Moutet. FOTO AFP
Reuters

Paris: Rafa Nadal mempamerkan aksi menarik ketika melakar kemenangan Grand Slam ke-300, hari ini, ketika menewaskan pemain tuan rumah, Corentin Moutet 6-3, 6-1, 6-4 untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Terbuka Perancis.

Nadal yang muncul juara 13 kali di Roland Garros iaitu sebahagian daripada 21 gelaran utamanya - paling banyak bagi pemain lelaki - kelihatan cergas dan bermain dengan baik pada dua perlawanan awal, sekalipun dibelenggu kecederaan menjelang kejohanan.

Jaguh Sepanyol itu yang sebelum ini dibelenggu masalah rusuk dan kaki tidak mahu bercakap mengenai kecederaannya.

"Saya tidak akan mampu melangkah jauh dalam kejohanan jika setiap hari sibuk memikirkan mengenai masalah fizikal," katanya kepada wartawan.

"Jadi, jika sesuatu berlaku, saya harus menerimanya. Tetapi, buat masa sekarang, fokus saya hanya kepada tenis."

Pemain Sepanyol yang akan berusia 36 tahun pada minggu depan akan menentang pilihan ke-26 dari Belanda, Botic van de Zandschulp di pusingan ketiga dan berpotensi bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di suku akhir selepas pemain itu menewaskannya di separuh akhir, tahun lalu.

Bermain di Court Philippe Chatrier, Nadal kelihatan gagah di atas tanah liat apabila mudah memenangi mata pada dua set awal.

Sementara itu, Djokovic turut mara ke pusingan ketiga selepas menang 6-2, 6-3, 7-6 (7/4) ke atas pemain Slovakia, Alex Molcan, yang berlatih dengan jurulatih lama Djokovic iaitu Marian Vajda.

"Memang satu kepuasan dapat bermain di Court Suzanne Lenglen. Saya tidak dapat banyak peluang bermain di sini," kata Djokovic selepas mara ke pusingan ketiga untuk tahun ke-17 berturut-turut.

"Saya mendapat sokongan padu. Keadaan cuaca agak mencabar hari ini kerana angin datang dari pelbagai arah. Jadi saya perlu fokus dan bersabar."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 9:44 AM