PHILIPPE COUTINHO
PHILIPPE COUTINHO

MADRID: Barcelona dan Sevilla akan menentukan kejayaan musim masing-masing apabila turun berentap pada final Copa del Rey, awal pagi Ahad ini.

Piala itu menjadi keutamaan ketiga dalam senarai Barca pada bulan lalu tetapi selepas kekalahan kepada Roma di suku akhir Liga Juara-Juara, menghancurkan harapan mereka untuk menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang.

Rekod tanpa kalah dan hampir memenangi kejuaraan La Liga serta memenangi dua kejuaraan domestik sekalipun, Barca tidak mungkin dapat mengubati kekecewaan kalah kepada Roma terutama jika musuh tradisi, Real Madrid dimahkotakan juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya hidup dengan sedikit bimbang,” kata pemain tengah Barca, Philippe Coutinho. “Tetapi ia saat paling penting dan sangat gembira, dapat bermain dalam final selepas hanya dua atau tiga bulan tiba di sini.”

Bagaimanapun, Barca yang juga juara bertahan akan turun memburu gelaran ke-30 Copa del Rey yang berlangsung buat pertama kali di Stadium Wanda Metropolitano, sementara Sevilla memburu kejuaraan keenam, dan kali pertama sejak 2010. 

Sejak Vincenzo Montella mengambil alih Sevilla Disember lalu, mereka pernah dua kali menewaskan Atletico Madrid selain menewaskan Manchester United serta seri menentang Bayern Munich dan Barcelona.

Mereka hanya bolos lima gol di laman sendiri kepada Real Betis dan tewas kepada Alaves, Eibar dan Leganes.

Ketika seri 2-2 menentang Barca pula, mereka hanya bolos pada minit ke-87 dan 89.

“Kami tahu bagaimana mereka bermain, mereka mempunyai kualiti dan serangan balas pantas,” kata Coutinho. 

“Perkara penting adalah fikir mengenai diri sendiri, bagaimana kami perlu bermain dan apa yang perlu dilakukan untuk menang.”

Menduduki tempat ketujuh dalam La Liga dan 17 mata ketinggalan dengan pasukan tempat keempat, kejayaan memenangi satu trofi dengan menewaskan Barca pasti akan mengubati kekecewaan Sevilla selepas turut tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara.

“Kami mempunyai peluang yang baik untuk memenangi gelaran ini untuk kelab,” kata pemain tengah Sevilla, Pablo Sarabia. 

“Kami perlu berfikir mengenai perkara yang baik musim ini. Benar kami tidak memperagakan prestasi konsisten dalam aksi liga tetapi dalam Liga Juara-Juara, kami sudah mencipta sejarah dan kini kami mempunyai peluang menjulang trofi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:20 PM