JUANMI (kanan) jaring gol ketiga Sociedad ketika menentang Atletico. -Foto Reuters
JUANMI (kanan) jaring gol ketiga Sociedad ketika menentang Atletico. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Dua jaringan lewat pemain gantian, Juanmi mengesahkan kemenangan penting 3-0 buat Real Sociedad awal pagi tadi sekali gus peluang Atletico Madrid mencabar gelaran Liga Sepanyol semakin pudar.

Dengan defisit 12 mata berbanding Barcelona, Atletico berdepan tugas berat mengejar pendahulu La Liga itu ketika ini.

Kini dengan hanya berbaki lima perlawanan, skuad kendalian Diego Simeone boleh dimaafkan jika mereka mula fokus kepada usaha menamatkan saingan di tangga kedua di depan Real Madrid – yang kini hanya ketinggalan tiga mata – dan usaha mereka dalam Liga Europa.

Atletico akan berdepan Arsenal pada separuh akhir kejohanan kedua terbesar Eropah itu minggu depan.

Simeone memberi amaran kelmarin bahawa pasukannya perlu meningkat jika mereka mahu menyekat bintang penyerang, Antoine Griezmann dipancing pencabar lain. 

Barcelona dan kelab Liga Perdana di England dilaporkan menjadi destinasi pilihan pemain itu.

Dan selepas persembahan awal pagi tadi, pengendali Argentina itu tampak lebih bimbang.

“Hari ini kami bermain buruk pada babak pertama dan pada babak kedua kami meningkat pada mulanya, tetapi tidak konsisten untuk menyamakan kedudukan,” kata Simeone.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Real Sociedad kerana bermain hebat dan menang dengan adil.”

Gol Sociedad dijaringkan Willian Jose pada minit ke-26 selain dua gol Juanmi pada minit ke-79 dan penghujung perlawanan.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:52 AM