NIGUEZ (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Sevilla hari ini. FOTO EPA
NIGUEZ (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Sevilla hari ini. FOTO EPA
AFP

Madrid: Atletico Madrid melebarkan kedudukan pendahulu La Liga dengan kelebihan empat mata selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Sevilla hari ini.

Gol pada setiap babak oleh Angel Correa dan pemain gantian, Saul Niguez menyaksikan skuad bimbingan Diego Simeone semakin menjarakkan kedudukan dengan pesaing terdekat, Real Madrid.

Perlawanan berlangsung di Wanda Metropolitano itu adalah salah satu daripada tiga perlawanan yang masih dimiliki Atletico berbanding Real dan Barcelona yang kini menduduki tangga ketiga liga.

"Saya sangat gembira membantu pasukan melakar kemenangan. Kerja keras kami membuahkan hasil," kata Niguez selepas kemenangan itu.

Sementara itu, Sevilla kekal menduduki tempat keenam liga dengan mengumpul 30 mata sekali gus berkongsi jumlah mata dengan Real Sociedad yang menduduki tangga kelima.

Real di bawah bimbingan Zinedine Zidane berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kejuaraan La Liga jika melihat kepada aksi yang dipamerkan anak buah Simeone.

Kieran Trippier kembali beraksi untuk Atletico selepas FIFA mengenakan hukuman penggantungan selama 10 minggu ke atas pemain antarabangsa England itu kerana melanggar peraturan berjudi.

Pemain berusia 30 tahun itu kembali dengan menjadi watak penting kepada gol pembukaan Correa pada minit ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:31 AM