PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal mudah menumpaskan Aljaz Bedene 6-1, 6-3. - Foto EPA-EFE
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal mudah menumpaskan Aljaz Bedene 6-1, 6-3. - Foto EPA-EFE

MONTE CARLO, Monaco: Novak Djokovic memerlukan 10 mata penamat sebelum menyingkirkan Borna Coric pada pusingan kedua Masters Monte Carlo hari ini, manakala pemain nombor satu dunia Rafael Nadal mudah menumpaskan Aljaz Bedene 6-1, 6-3.

Djokovic, yang beraksi kejohanan keempat sejak Wimbledon Julai lalu selepas bergelut dengan kecederaan siku kanan, menangani detik mendebarkan pada lewat perlawanan sebelum menang 7-6 (7/2), 7-5.

Djokovic bekerja dengan bekas jurulatih Marian Vajda buat kali pertama dalam tempoh hampir setahun selepas berpisah dengan Andre Agassi dan pemain berusia 30 tahun itu kelihatan kembali bertenaga di Monaco selepas kekalahan awal di Indian Wells dan Miami.

Pemain Serbia itu akan berdepan pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem dengan kemungkinan pertembungan suku akhir dengan Nadal, yang menentang Karen Khachanov pada pusingan 16 terakhir esok.

Pemain Jepun, Kei Nishikori meneruskan penampilan semulanya daripada kecederaan dengan kemenangan 7-5, 6-2 ke atas pemain Russia, Daniil Medvedev.

Bekas pemain nombor empat dunia itu, yang bergelut tahun lalu dengan kecederaan pergelangan tangan kanan, menyusuli kemenangan pada pusingan pertama ke atas Tomas Berdych dengan persembahan mantap di gelanggang tengah.

“Set pertama pertarungan sebenar, dia bermain lebih baik berbanding saya pada permulaan,” kata Nishikori.

“Saya hanya cuba bertenang dan tidak melakukan perkara gila dan kekal tenang di garisan belakang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 12:40 AM