NADAL tak sabar bertemu Djokovic di suku akhir. -Foto EPA
NADAL tak sabar bertemu Djokovic di suku akhir. -Foto EPA

MONTE CARLO: Pemain tenis nombor satu dunia dan penyandang juara, Rafael Nadal berpeluang bertemu seteru utamanya, Novak Djokovic di peringkat suku akhir Monte Carlo Masters, minggu depan selepas selepas sesi undian, semalam.

Pilihan utama dari Sepanyol itu, yang menjulang gelaran ke-10 Monte Carlo tahun lalu mendapat bye pada pusingan pertama dan akan membuka musim tanah liat menentang sama ada pemain Slovenia,  Aljaz Bedene atau pemain kelayakan.

“Saya sudah memenangi Monte Carlo Masters sebanyak 10 kali, ia adalah jumlah yang baik. Tetapi satu lagi kemenangan, mengapa tidak?” kata Nadal yang mengharungi permainan pertamanya sejak Terbuka Australia, Januari lalu di saingan Piala Davis bersama skuad Sepanyol.

Pemain berusia 31 tahun itu memenangi gelaran pertamanya di Monte Carlo pada 2005 dan sudah menewaskan Djokovic sebanyak dua kali di pentas final.

Begitupun, pemain kelahiran Serbia itu menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menewaskan Nadal di final dengan kemenangan straightset pada 2013.

Djokovic perlu berdepan pemain kelayakan pada pusingan pertama dan berkemungkinan bertemu pemain Austria, Dominic Thiem di pusingan ketiga.

Ia adalah kejohanan pertama pemenang Grand Slam 12 kali itu sejak berpisah dengan jurulatihnya, Andre Agassi.

Pemain wildcard dari Australia, Thanasi Kokkinakis yang mengejutkan Roger Federer di Miami Masters, bulan lalu yang memberi Nadal peluang untuk merampas kembali ranking nombor satu dunia berpotensi untuk menjadi lawan pemenang 16 kali Grand Slam itu di pusingan ketiga.

Pilihan kedua dari Croatia, Marin Cilic akan memulakan kempen di pusingan kedua sama ada menentang  pemain Sepanyol, Fernando Verdasco atau pemain Uruguay, Pablo Cuevas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 6:01 PM