ATLET keirin wanita, Farina Shawati Mohd Adnan (kanan) sekadar raih tempat keempat pada aksi final di Velodrom Anna Meares. - Foto REUTERS
ATLET keirin wanita, Farina Shawati Mohd Adnan (kanan) sekadar raih tempat keempat pada aksi final di Velodrom Anna Meares. - Foto REUTERS
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

SKUAD berbasikal negara mengakhiri kempen mereka di pentas Sukan Komanwel 2018 tanpa sebarang pingat apabila gagal mencuri kedudukan podium pada hari terakhir acara berbasikal trek di Velodrom Anna Meares.

   Acara keirin wanita yang menjadi sandaran menerusi Farina Shawati Mohd Adnan menyaksikannya terlepas pingat gangsa apabila menduduki tangga keempat.

    Perlumbaan akhir itu dikuasai dua pelumba Australia, Stephanie Morton dan Kaarie McCulloch dan gangsa milik atlet New Zealand Natasha Hansen.

   Fatehah Mustapa pula di tangga kelapan dalam penentuan tempat ketujuh hingga 12.

 Mohd Fadhil Mohd Zonis muncul pelumba terbaik negara dalam acara 1km ujian masa di tangga ke-11 dengan catatan1:02.073s, diikuti Muhammad Shah Firdaus Sahrom di tangga ke-17 dengan catatan 1:01.253s dan Irawndie Lakasek di tangga ke-19 dengan 1:04.640s.

    Ju Pha Som Net kemudiannya sekadar berada di tangga ke-13 dalam acara perlumbaan scratch 10km wanita.

   Malah Muhammad Danie Al Haikkal Edy Suhaidee dan Muhamad Afiq Huznie Othman yang menjadi taruhan terakhir negara dalam acara 40km perlumbaan mata turut kecundang apabila masing-masing menduduki tangga ke-15 dan 17.

   "Pelumba lebih bersemangat hari ini cuma nasib tidak menyebebelahi kami pada Sukan Komanwel kali ini," kata pengurus pasukan Ramlay Ibrahim.

   "Namun kita dapat melihat kebangkitan pelumba baru  seperti Farina Shawati apabila menduduki tempat keempat dalam acara keirin wanita.

   "Apa yang boleh kita katakan standard perlumbaan kali ini terlalu tinggi dengan dominasi Australia, England, New Zealand dan Scotland yang saling bersaing sengit, sukar untuk kita memecahkan penguasaan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 9:12 PM