AMARJIT SINGH GILL
AMARJIT SINGH GILL
Azlan Muhammad Zain


MALAYSIA perlu mengharapkan tuah untuk terpilih menganjurkan salah satu siri Piala Dunia anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi musim 2019/2020.

Ini kerana UCI sudah memutuskan dua daripada enam penganjur dengan empat lagi dalam pertimbangan dan proses penilaian.

“Apa yang boleh saya katakan, Malaysia berada dalam senarai teratas menunggu sekiranya empat negara yang membida awal tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

“UCI berharap mampu memuktamadkan senarai tuan rumah menjelang Julai depan,” jelas Ahli Suruhanjaya Trek UCI, Datuk Amarjit Singh.

Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menjelaskan, proses untuk menjadi tuan rumah sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu oleh negara lain bagi memastikan kriteria UCI mampu dipenuhi.

Malaysia mengemukakan permohonan untuk menjadi tuan rumah selepas kejayaan menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Februari lalu.

Keputusan itu diyakini mampu memberikan kelebihan kepada barisan pelumba elit negara yang diketuai Azizulhasni Awang dalam memburu tiket ke Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 10:31 PM