Pelumba negara Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (kanan) menyarung jersi merah ketika LTdL pada Februari 2020.
Pelumba negara Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (kanan) menyarung jersi merah ketika LTdL pada Februari 2020.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Status penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dijangka ketahui selepas mesyuarat antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Isnin ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab berkata pada masa ini, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah memberikan pilihan tarikh penganjuran pada Januari dan Mac depan, selepas edisi tahun ini terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata 16 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai jelajah berbasikal berstatus siri profesional itu.

"Keputusan mengenai LTdL hanya akan diketahui pada Isnin selepas selesai perbincangan dengan KBS, buat masa ini tidak boleh berkongsi apa-apa perkembangan.

"UCI hanya memberi tarikh pada Januari dan Mac depan, itu sahaja tarikh yang ada. Selepas itu mungkin tidak dipersetujui kerana pada April, kebanyakan perlumbaan di Eropah akan bermula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut laman sesawang UCI, LTdL disenaraikan untuk penganjuran bermula 16 hingga 23 Januari depan.

Jelajah elit Asia itu yang diadakan setiap tahun sejak 1996 berjaya dianjurkan untuk edisi ke-25 pada Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 menjejaskan sektor sukan dunia bermula Mac tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 8:36 PM