AMARJIT bersama sijil homologation UCI. FOTO/FAIL
AMARJIT bersama sijil homologation UCI. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain

VELODROM Rakyat akhirnya mendapat sijil homologation daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi membolehkan ia menganjurkan kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Perkembangan berkenaan dimaklumkan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh yang terbang sendiri ke pejabat UCI di Aigle, Switzerland dan kembali ke Malaysia pagi ini.

“Saya dengan gembira ingin memaklumkan Velodrom Rakyat kini sudah diiktiraf UCI dan saya sendiri secara peribadi mengambil sijilnya di Aigle. Ini bermakna Velodrom Rakyat dibenarkan untuk menganjurkan sebarang kejohanan sama ada tempatan atau antarabangsa,” kata Amarjit yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA).

Menerusi pengiktirafan UCI, Velodrom Rakyat kini akan menjadi tuan rumah bagi acara berbasikal trek Sukan Malaysia (SUKMA) pada September nanti selain Amarjit berjaya melaksanakan syarat yang ditetapkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How yang mahu perkara berkenaan diselesaikan pada minggu pertama bulan ini.

“Ia sudah selesai sepenuhnya dan fokus kini adalah memastikan acara di SUKMA berjalan lancar pada bulan depan. Bagi program jangka panjang, saya akan berbincang dengan barisan kepimpinan PKBM untuk menjadikan Velodrom Rakyat sebagai pusat pembangunan zon utara,” katanya.

Minggu lalu, Pengurus Trek UCI Gilles Peruzzi hadir ke Velodrom Rakyat di Ipoh bagi melakukan pemeriksaan terperinci ike atas trek dan kemudahan lain sebagai sebahagian proses mendapat sijil homologation.

Velodrom Rakyat sebelum ini dibaik pulih menerusi peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM11 juta bagi membaiki kerosakan yang berlaku. Bagaimanapun selepas siap, ia masih memerlukan beberapa penambahbaikan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan UCI sebelum diluluskan.

Velodrom Rakyat dibina pada tahun 1984 menerusi derma orang awam yang diusahakan Tan Sri Darshan Singh selain pernah menganjurkan kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991.

Malaysia kini mempunyai dua velodrom untuk menganjurkan perlumbaan antarabangsa selain Velodrom Nasional di Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 5:33 PM