PELUMBA basikal Malaysia, Jupha Som Net harap mampu meneruskan rentak konsisten. - Foto Eizairi Shamsudin
PELUMBA basikal Malaysia, Jupha Som Net harap mampu meneruskan rentak konsisten. - Foto Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA trek negara, Jupha Somnet mahu meneruskan rentak konsisten apabila turun beraksi pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia minggu depan.

 

Pelumba kelahiran Perlis itu melakar kejutan di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada Februari lalu, apabila menang dalam acara perlumbaan mata sekali gus menyumbang emas tunggal negara pada kejohanan peringkat benua itu. 

  

"Saya berharap mampu meneruskan rentak konsisten itu. Saya akan cuba meraih podium, namun sedar ia bukan sesuatu yang mudah. Ramai pelumba handalan dunia akan tampil terutamanya yang pernah menyertai Olimpik.

  

"Latihan dan persediaan terutamanya kem latihan di Chiang Mai, Thailand sebelum berlepas ke Gold Coast memberikan impak positif dan berharap ia bakal membantu saya menghadapi cabaran nanti," katanya.

  

Pelumba berusia 25 tahun itu dijadual menyertai acara perlumbaan mata dan scratch.

  

"Peluang lebih cerah untuk saya menerusi scratch. Saya cuma perlu merencanakan strategi yang betul. Peluang dalam perlumbaan mata agak sukar kerana hanya saya seorang menyertainya berbanding negara lain yang biasanya menyenaraikan lebih daripada seorang pelumba dalam mengatur strategi," katanya.

  

Aksi di Gold Coast adalah penampilan kedua Jupha selepas Glasgow empat tahun lalu apabila mendapat tempat keenam dalam scratch dan ke-12 bagi perlumbaan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:51 PM