MCILROY  memenangi trofi  ke-14 pada PGA Amerika Syarikat dua minggu lalu di Bay Hill. FOTO/AFP
MCILROY memenangi trofi ke-14 pada PGA Amerika Syarikat dua minggu lalu di Bay Hill. FOTO/AFP
AFP

AUGUSTA (Amerika Syarikat): Rory McIlroy bakal melakukan percubaan keempat bagi melengkapkan karier Grand Slam dengan memenangi kejayaan Masters minggu hadapan di Augusta National, di mana pemain golf Eropah menikmati kejayaan terbesar mereka dalam tempoh 25 tahun.

Pemenang empat kali gelaran utama berusia 28 tahun dari Ireland Utara itu memenangi trofi ke-14 pada PGA Amerika Syarikat dua minggu lalu di Bay Hill apabila mempamerkan prestasi terbaik untuk menjulang gelaran Jemputan Arnold Palmer.

“Saya sering berkata saya tidak perlukan kemenangan menjelang ke Augusta, saya hanya mahukan penanda aras golf yang baik dan bersyukur saya dapat kedua-duanya,” kata McIlroy.

Dengan pemain Sepanyol, Sergio Garcia memenangi kejuaraan tahun lalu dan Danny Willet menjuarai pada 2016, pemain Eropah adalah pilihan terbaik untuk menyarung jaket hijau sejak pemain Jerman, Bernhard Langer dan pemain Sepanyol, Jose Maria Olazabal menjuarai pada 1993-1994.

Tempoh paling panjang pemain Eropah memonopoli kejuaraan itu adalah apabila pemain Scotland, Sandy Lyle memenangi pada 1988, pemain England, Nick Faldo memenanginya pada kedua-dua tahun kemudian dan pemain Wales, Ian Woosnam menjuarai mahkota pada 1991.

Tahun ini juga bakal menampilkan kekuatan pemain Eropah dengan Garcia bakal mempertahankan kejuaraannya, pemain England, Paul Casey yang baru memenangi Kejuaraan Valspar pada bulan ini, pemain England, Justin Rose mengharap untuk membaiki keputusan naib juara pada tahun lalu serta pemain meningkat naik, John Rahm yang menang di California pada Januari.

Tetapi prestasi McIlroy dan kemahuannya untuk melengkapkan karier Grand Slam menjadi tumpuan.

Dia memenangi Terbuka AS 2011, Kejohanan PGA 2012 dan 2014 serta Terbuka Britain 2014 dan juga menduduki tempat 10 terbaik Masters sejak empat tahun lepas, persembahan terbaiknya adalah keempat pada 2015.

Hanya lima pemain yang melengkapkan karier Grand Slam - Jack Nicklaus, Tiger Woods, Ben Hogan, Gary Player dan Gene Sarazen.

“Saya berada di kedudukan di mana saya boleh menyertai kelab itu dan saya mahukannya,” kata McIlroy. “Saya hanya mempunyai satu peluang setahun di Augusta. Saya bermain baik. Tidak cukup baik. Saya harap saya dapat memenanginya tahun ini dan melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:56 PM