KIM Swee (kanan) aku perancangan skuad muda negara tidak terganggu. -Foto fail
KIM Swee (kanan) aku perancangan skuad muda negara tidak terganggu. -Foto fail
Syafiq Aznan

‘ANGIN PERUBAHAN’ membabitkan tampuk kepemimpinan yang dijangka akan berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat langsung tidak menggusarkan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu, dia melontarkan kepercayaan betapa apa sahaja perubahan yang akan berlaku selepas ini sama sekali tidak akan menjejaskan perancangan yang sudahpun ditetapkan untuk skuad muda remaja itu khususnya bagi mengharungi beberapa kejohanan selepas ini.

“Saya yakin tidak akan ada gangguan di mana semuanya akan berjalan seperti yang dirancangkan dan tidak akan ada halangan terhadap apa yang ingin kita lakukan. Sesiapa pun yang memegang jawatan tertinggi selepas ini sudah tentu akan meneruskan misi kita untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Jadi mereka harus faham bahawa perancangan sudah dilakukan khususnya apabila kita bersedia untuk membida hak tuan rumah bagi pusingan akhir Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Sama ada pengurusan baharu ataupun lama, perancangan sudah ditetapkan. Pihak pengurusan juga tahu mengenai apa yang perlu kita lakukan dengan kejohanan yang akan kita hadapi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan antara skuad Bawah 21 tahun (B-21) negara menentang PJ Rangers di Wisma FAM, semalam.

Pada aksi persahabatan selepas latihan pusat selama 10 hari itu, skuad B-21 tewas 3-2 di tangan pasukan Liga FAM itu yang menyaksikan mereka ketinggalan 3-0 sebelum bangkit mengurangkan defisit menerusi jaringan Izzan Syahmi dan Fadzrul Daniel.

Mengulas lanjut mengenai sebarang kemungkinan mengenai kedudukannya selepas ini, Kim Swee mengakui dia tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu.

“Jika ada pertukaran yang berlaku, sudah tentu ia hanya membabitkan peringkat pentadbiran dan bukan di peringkat kejurulatihan,” katanya.

Sebelum ini, Kim Swee yang dilantik selaku pengendali skuad senior ‘diturunkan pangkat’ kepada jurulatih skuad B-23 selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih selaku Presiden FAM yang baharu pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac tahun lalu.

Dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kini disebut-sebut bakal mengisi ‘kerusi panas’ itu, timbul persoalan seandainya perkara sama akan turut berlaku kepada Kim Swee selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 5:17 PM