KIM SWEE (empat dari kanan) akan membawa anak buah berkala di Korea Selatan dan China. FOTO/ASYRAF HAMZAH
KIM SWEE (empat dari kanan) akan membawa anak buah berkala di Korea Selatan dan China. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


SKUAD Bawah 23 tahun negara (B-23) akan menjalani persiapan rapi di Korea Selatan dan China sebagai persediaan bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Changshu dan Kunshan, China bermula 10 Januari depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan program latihan pusat itu diperkenan sendiri Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas pertemuan bersama pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee di Johor Bahru, hari ini.

“Mengikut perancangan program persiapan skuad B-23, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula pada 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.

“Seterusnya, mereka akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat di sana selama 14 hari sehingga 30 Disember yang merangkumi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa pada 22, 25 dan 28 Disember dengan salah satunya berkemungkinan bertemu skuad B-23 Korea Selatan.

“Kemudian, skuad B-23 akan terus ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari iaitu bertemu salah satu pasukan dari kumpulan lain yang turut akan beraksi pada Kejuaraan B-23 AFC 2018

“Skuad B-23 dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, Hamidin menjelaskan program latihan luar negara yang berlangsung di luar lokasi ini dapat direalisasikan menerusi hubungan baik antara Tunku Ismail dengan Presiden Persatuan Bolasepak Korea (KFA), Chung Mong Gyu dan juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA), Zhang Jian.

“KFA akan menanggung semua kos latihan, penginapan dan makan minum sepanjang dua minggu skuad B-23 berada di Mokpo. Begitu juga dengan CFA sepanjang seminggu kem latihan di Nanjing.

“FAM mengharapkan dengan segala perancangan dan inisiatif yang dilakukan oleh Tunku Ismail, skuad B-23 dapat mempersiapkan diri dengan sempurna dan seterusnya mampu mempamerkan aksi terbaik pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:37 PM