PEMAIN FELDA United, Ahmad Syamim Yahya (depan) terpaksa berehat selama tiga bulan kerana kecederaan lutut kanan. - Foto MUHD ASYRAF SAWAL
PEMAIN FELDA United, Ahmad Syamim Yahya (depan) terpaksa berehat selama tiga bulan kerana kecederaan lutut kanan. - Foto MUHD ASYRAF SAWAL
Rodly Fadly


PEMAIN tengah FELDA United, Ahmad Syamim Yahya terpaksa berehat selama tiga bulan kerana kecederaan lutut kanan.

Syamim yang kembali menyarung jersi The Fighters selepas semusim bersama Pahang mendapat kecederaan itu ketika perlawanan Liga Perdana menentang Kuantan FA pada 9 Mac lalu.

“Doktor mengesahkan kecederaan saya serius yang memerlukan rehat selama tiga bulan. Ini bermakna saya hanya akan dapat bermain semula pada Jun depan,” kata Syamim.

“Nasib baik tidak memerlukan pembedahan namun kecederaan ini agak mengecewakan kerana ia berlaku ketika saya semakin serasi dengan corak permainan diterapkan jurulatih, B Sathianathan.

“Apatah lagi prestasi FELDA juga sedang berada dalam momentum terbaik selepas menang semua perlawanan setakat ini.”

Syamim juga bimbang ketiadaannya selama tempoh pemulihan itu akan menyebabkan dia kehilangan tempat dalam kesebelasan utama FELDA.

“Berdasarkan pengalaman rakan yang pernah mengalami kecederaan serius seperti saya, mereka mengambil masa lama untuk mendapatkan kembali tempat walaupun sudah pulih daripada kecederaan.

“Selain soal kecergasan, pemain yang baru pulih daripada kecederaan perlu membina semula keyakinan serta keserasian bersama pasukan. Bukan mudah untuk mendapatkan semula rentak selepas lama berehat,” katanya.

Bagaimanapun, Syamim percaya ketiadaannya tidak akan menjejaskan persembahan FELDA kerana kelab itu mempunyai ramai pemain yang berkemampuan mengisi kekosongannya.

Malah dia yakin FELDA mampu menafikan ramalan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang memilih PKNP FC sebagai pemenang apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada suku akhir Piala FA, bulan depan.

“Saya bukan berniat memperkecilkan PKNP sebaliknya lebih yakin dengan kemampuan pasukan sendiri. Perlawanan ini tetap sukar tapi percaya FELDA mampu meneruskan rentak kemenangan walaupun tanpa saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 9:40 AM