DEMBELE (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
DEMBELE (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Ousmane Dembele meledak dua gol ketika Barcelona membelasah Villarreal 5-1, awal pagi tadi dan menghampiri rekod tanpa kalah semusim dalam kempen La Liga.

Jaringan voley Lionel Messi menerusi hantaran cantik Andres Iniesta di Camp Nou meletakkan Barca mendahului 3-0 berakhir babak pertama selepas Philippe Coutinho membuka tirai jaringan pada minit ke-11 diikuti gol kedua menerusi Paulinho, lima minit kemudian.

Permainan babak kedua begitupun menjadi milik Dembele yang menampilkan persembahan menarik untuk menjaringkan dua gol selepas pemain kebangsaan Perancis itu turut menyumbang gerakan untuk jaringan Coutinho.

Villarreal memperoleh gol sagu hati selepas rembatan Pablo Fornals tertampan Nicola Sansone dengan kemenangan menyaksikan skuad kendalian Ernesto Valverde tampak sudah melupakan ‘duka’ pertembungan ‘Clasico’ pada Ahad lalu.

Pendahulu La Liga itu ketika ini memiliki kelebihan 15 mata di atas Atletico Madrid manakala Villarreal kekal di tangga keenam.

Barca pada minggu lalu diikat 2-2 bertemu Real Madrid sekali pun terpaksa beraksi hampir keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain.

Dua perlawanan terakhir juara baharu Sepanyol itu untuk melengkapkan kempen tanpa kalah semusim ialah menentang Levante di gelanggang lawan dan Real Sociedad pada aksi terakhir di Nou Camp.

Jika ia berjaya dilakukan, ini kali pertama kelab gergasi Catalan itu menamatkan 38 perlawanan La Liga semusim tanpa kalah  dengan Real menjadi satu-satunya pasukan berjaya melakukannya pada 1932 ketika saingan liga memiliki 10 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:54 AM