MESSI (tengah) meraikan gol bersama penyokong. FOTO/AFP
MESSI (tengah) meraikan gol bersama penyokong. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Barcelona melabel Lionel Messi sebagai ‘Raja’ ketika pemain bintang itu menghadiahkan hukuman cukup memeritkan buat Chelsea dengan meledak dua gol untuk memberi gergasi Catalan itu kemenangan 3-0 dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dua gol yang dijaringkan Messi juga menyaksikan pemain kelahiran Argentina itu kini sudah mengumpul 100 gol di pentas Liga Juara-Juara dan membawa kelabnya ke peringkat lapan terbaik menerusi agregat 4-1.

Selepas terikat 1-1 pada aksi pertama di London, bulan lalu, kain rentang dengan tulisan ‘Tuhan Selamatkan Raja’ dikibarkan peminat Barca dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk bergembira.

CHELSEA hampa selepas tewas di Nou Camp. FOTO/AFP
CHELSEA hampa selepas tewas di Nou Camp. FOTO/AFP

Gol yang dicari tuan rumah muncul selepas 129 saat permainan bermula di Nou Camp menerusi Messi dengan pemain-pemain Chelsea ketika itu belum sempat untuk melakukan hantaran.

Dia kemudian bergandingan dengan Ousmane Dembele bagi menggandakan kelebihan Barca bagi aksi kedua peringkat 16 terakhir itu sebelum meledak gol ke-100 dalam penampilan ke-123 dalam saingan elit Eropah itu pada minit ke-63.

Messi menjadi pemain kedua berjaya meraih status berkenaan dalam kancah Liga Juara-Juara mengikuti langkah bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang kini sudah mengumpul 117 gol dalam 152 permainan.

Kemenangan melengkapkan lima hari penuh gembira buat pemain berusia 30 tahun itu yang pada minggu lalu terpaksa diketepikan Barca bagi aksi menentang Malaga dalam kempen La Liga bagi menunggu kelahiran anak ketiganya.

Dengan kekalahan Manchester United kepada Sevilla dan Tottenham dikecewakan oleh Juventus, penyingkiran Chelsea bermakna England kini hanya mempunyai dua wakil iaitu Liverpool dan Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:28 AM