MESSI (kanan) ledak gol ke-100 dalam saingan Eropah. FOTO/ REUTERS
MESSI (kanan) ledak gol ke-100 dalam saingan Eropah. FOTO/ REUTERS
Reuters

BARCELONA: Barcelona tidak berdepan tekanan untuk menewaskan Olympiakos 3-1 di Camp Nou meskipun kehilangan Gerard Pique dengan perlawanan di Camp Nou turut dipalit kemelut politik membabitkan tuntutan kemerdekaan Catalonia, awal pagi tadi.

Jaringan sendiri Dimitrios Nikolaou dan ledakan di babak kedua oleh Lionel Messi dan Lucas Digne memastikan kemenangan selesa gergasi Sepanyol itu dalam kancah Liga Juara-Juara.

Keputusan membenarkan Barca berada di puncak Kumpulan D dengan rekod sempurna selepas tiga perlawanan manakala Juventus ketinggalan tiga mata di belakang susulan kemenangan 2-1 ke atas Sporting Lisbon.

Satu sepanduk sepanjang kira-kira 50 meter dihasilkan kelab yang membawa mesej ‘Dialogue, Respect, and Sport’ (dialog, hormat dan sukan) dibentangkan sebelum sepak mula sebagai tanda mahukan jalan penyelesaian bagi kedua-dua fahaman politik itu.

“Ia satu situasi sukar di Catalonia, Barcelona mengambil pendekatan dan kedudukan kami amat jelas - kami mahukan dialog,” kata Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu.

PENGADIL perlawanan, Willie Collum melayangkan kad kuning kepada Pique selepas mengasari pemain Olympiakos. FOTO/ REUTERS
PENGADIL perlawanan, Willie Collum melayangkan kad kuning kepada Pique selepas mengasari pemain Olympiakos. FOTO/ REUTERS

“Dengan bercakap, semuanya akan saling memahami dan menemui titik persetujuan.

“Kami juga meminta rasa hormat untuk setiap yang terbabit dalam situasi penuh kompleks di Catalonia ini dan juga menghormati Barca.

“Akhir sekali sukan kerana kami adalah sebuah pasukan sukan, bukan saja bola sepak tetapi bola keranjang, hoki, bola baling dan kami akan terus bertanding di padang.”

Pique menjadi tajuk utama akhbar kerana kritikan pedasnya mengenai kekejaman polis pada hari penyerahan referendum pada 1 Oktober lalu dan turut diejek ketika melunaskan tanggungjawab bersama Sepanyol.

Namun, dia sekali lagi membuka ruang untuk dikritik, kali ini mengenai prestasinya di atas padang apabila secara sengaja menampar bola, dua minit sebelum babak pertama berakhir lantas diarahkan keluar padang.

Apapun, ketiadaan Pique itu bukanlah satu kekurangan apabila Messi turut meledak gol ke-100 dalam saingan Eropah dan ke-97 dalam kancah Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 10:35 AM