MOURINHO (kiri) mahu pemainnya rantai pergerakan Salah, malam esok.
MOURINHO (kiri) mahu pemainnya rantai pergerakan Salah, malam esok.

PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho berdepan tugas mencabar untuk mencari formula terbaik merantai pergerakan bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah apabila kedua-dua musuh tradisi itu berentap dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok. 

Aksi di Old Trafford itu cukup penting dengan kedua-duanya kini sedang bersaing hebat untuk menamatkan saingan liga di tempat kedua musim ini. 

Ketika Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola hampir dinobatkan sebagai juara liga, United dan Liverpool - dua kelab paling berjaya dalam saingan liga Inggeris - kini bersaing bagi merebut tempat kedua. 

Prestasi cemerlang anak buah Mourinho yang kembali bangkit untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace, Isnin lalu membolehkan mereka mengekalkan kelebihan dua mata di depan Liverpool. 

Nemanja Matic memuji prestasi cemerlang ditunjukkan rakan sepasukan susulan kemenangan dilakar di London, tetapi menegaskan penting untuk mereka mengutip tiga lagi mata pada pertemuan dengan Liverpool selepas bergelut dengan aksi tidak menentu sebelum ini. 

“Kami perlu jujur, kami perlu bermain lebih baik. Kami perlu lebih bekerja keras jika mahu mencatat kemenangan ke atas Liverpool yang juga pasukan berkualiti,” kata pemain tengah United itu. 

Liverpool menjaringkan 20 gol dalam tujuh perlawanan sebelum seri 0-0 dengan Porto pada pertengahan minggu - keputusan yang menyaksikan mereka menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun. 

Jentera serangan Liverpool yang diketuai Salah selain Roberto Firmino dan Sadio Mane sudah membuktikan ketajaman penyudah mereka apabila meledak 68 gol keseluruhan musim ini. 

Situasi itu pastinya akan membuatkan Mourinho tidak tidur lena bagi memikirkan formula terbaik menyekat jentera serangan The Reds. 

Bagi United, aksi menentang Liverpool adalah yang pertama daripada tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari di Old Trafford yang bakal menentukan nasib mereka musim ini. 

United akan melayan kunjungan Sevilla dalam aksi pusingan kedua 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini sebelum bertemu Brighton dalam aksi suku akhir Piala FA. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:44 PM