MARCUS RASHFORD
MARCUS RASHFORD
Agensi

MANCHESTER: Marcus Rashford menegaskan, Manchester United perlu mengangkat tahap permainan mereka apabila bertandang ke Liverpool, dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Isnin.

United kini 16 mata ketinggalan di belakang skuad kendalian Jurgen Klopp yang menerajui liga dan begitu dahagakan kemenangan untuk kembali meletakkan kempen mereka pada landasan yang betul.

Jose Mourinho sudah melihat permulaan terburuk liga United dalam tempoh 28 tahun pada saingan musim ini, manakala The Reds muncul satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah pada kempen ini.

Biarpun terdapat jurang besar antara kedua-dua pasukan, Rashford menegaskan United tiba ke perlawanan itu dengan kemampuan skuad yang sama hebat dengan Liverpool.

“Tidak, kami tidak pergi ke sana sebagai pasukan bukan pilihan,” kata penyerang berusia 21 tahun itu.

“Kami pergi ke sana untuk memburu kemenangan sama seperti aksi lain.

“Mereka adalah sebuah pasukan yang bagus. Permainan bertenaga yang dipamerkan mereka menjadikan perlawanan sukar, jadi kami perlu cuba menandingi dan mempamerkan peningkatan.”

Pada musim ini, United didakwa tidak mempunyai naluri pembunuh - kritikan yang jelas terbukti ketika mereka kecundang 1-2 kepada Valencia dalam pertembungan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis lalu.

“Saya fikir kami perlu terus fokus dan melihat bagaimana kami boleh membunuh mereka dan menjaringkan gol,” kata penyerang antarabangsa England itu.

Mourinho berjaya mengemudi United mencatat satu kemenangan dan tiga seri berdepan Liverpool sepanjang dua setengah tahun berkhidmat di Old Trafford.

Rashford meledak kedua-dua gol ketika United mencatat kemenangan 2-1 dalam pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 12:56 PM