GHADDAR kembali perkuat skuad Kelantan. - FOTO YAZIT RAZALI
GHADDAR kembali perkuat skuad Kelantan. - FOTO YAZIT RAZALI
Oleh Attirmidzie Rahman


Kota Bharu: Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah ada ramuan tersendiri untuk memburu kemenangan sulung pada aksi Liga Super berdepan Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Sabtu ini.

Jurulatih kelahiran Kangar itu berkata, beliau akan melakukan rombakan di beberapa bahagian bagi tujuan menyesuaikan semula posisi pemain berbanding kedudukan mereka sebelum ini.

Katanya, kemasukan penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar yang digandingkan dengan penyerang import Brazil, Bruno Lopes dilihat akan memecahkan kebuntuan jentera serangan pasukan itu.

“Setakat apa yang saya perhatikan memang pasukan perlu membuat rombakan kerana jika dilihat pada perlawanan sebelum ini memang kami gagal mencipta peluang mendapatkan jaringan.

“Oleh itu, saya sudah nampak beberapa taktikal yang boleh digunakan selain turut mengenal pasti ruang kelemahan yang terdapat pada skuad bimbingan Mehmet Durakovic.

“Apa pun saya mahu jadikan perlawanan nanti sebagai medan kebangkitan bagi Kelantan dan saya yakin pemain pun sudah dalam keadaan siap siaga untuk diturunkan pada perlawanan Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun tugasan yang diamanahkan kepadanya bersifat sementara ketika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang meneliti beberapa calon ketua jurulatih baru, namun bagi Yusri beliau menganggap ia peluang terbaik untuknya memimpin pasukan besar seperti Kelantan.

“Saya tetap bersyukur walaupun tugasan ini hanya sementara dan jika selepas ini pasukan sudah ada jurulatih baharu, saya tetap sedia bekerjasama dengannya.

“Paling penting biarlah pasukan ini dapat mencipta kejayaan musim ini tidak kira siapa yang membimbingnya selepas ini,” katanya.

Difahamkan, calon jurulatih yang akan membimbing skuad The Red Warriors dijangka hadir menyaksikan perlawanan itu sebagai pemerhati.

Kelantan hanya seri sekali dan kalah dua kali sementara lawannya Perak memegang rekod 1-1-1 dalam tiga perlawanan awal Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 1:05 AM