GILMAR (kanan) beri impak positif buat Perak.
GILMAR (kanan) beri impak positif buat Perak.
Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Perak ingin meneruskan momentum kemenangan, namun tetap waspada dengan ancaman Selangor apabila mereka bertembung pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Jurulatih Mehmet Durakovic berkata, walaupun Perak sudah menemui rentak sebenar permainan sejak pertandingan kembali bersambung, mereka tidak boleh mengambil mudah prestasi Selangor yang turut menunjukkan peningkatan.

“Setakat ini saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Perak selepas rehat. Mereka bermain seperti yang saya mahukan dan mencipta kemenangan.

“Mereka semakin serasi dengan taktikal yang saya terapkan, malah kian mencipta persefahaman sepasukan.

“Beberapa rombakan yang kami lakukan semasa rehat termasuk membabitkan pemain import menunjukkan hasil positif,” kata Durakovic.

Kemasukan dua pemain import Brazil, Gilmar Jose da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliviera ternyata meninggalkan impak diharapkan bila mana Perak kembali berada pada landasan betul dengan mencipta tiga kemenangan berturut-turut.

Mereka mengalahkan Kedah 3-2 dalam Liga Super disusuli dua kemenangan dalam Piala Malaysia, mengatasi PKNS 2-0 dan Kuala Lumpur 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:52 AM