JEFFREY Webb ketika beraksi dalam acara 'giant slalom' i Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, hari ini. - Foto EPA
JEFFREY Webb ketika beraksi dalam acara 'giant slalom' i Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, hari ini. - Foto EPA
Fadhli Ishak

 

PELUMBA alpine ski negara, Jeffrey Webb menamatkan saingan dalam kelompok pertengahan acara 'giant slalom' pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, hari ini.

Jeffrey merakam masa satu minit 25.73 saat (s) dalam pusingan pertama diikuti 1:22.95s (pusingan kedua) untuk keseluruhan 2:48.68s di Yongpyong Alpine Center.

Catatan itu menyaksikan dia terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-68 daripada 110 peluncur yang beraksi dalam acara berkenaan.

Chef-de-mission, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar memuji persembahan atlet berusia 19 tahun itu.

"Saya rasa dia beraksi baik memandangkan ini kali pertama dia mewakili Malaysia di pertandingan ini," kata Mumtaz.

"Dia berdepan peluncur-peluncur terbaik dunia di mana sebahagian daripada mereka gagal menamatkan saingan. Jeffrey begitu fokus dan berhati-hati untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan yang baik.

"Menerusi Jeffrey, Malaysia berjaya melahirkan seorang lagi Olimpian."

Jeffrey tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Bagaimanapun ibunya, Jasmin berkata ia saat yang amat membanggakan buat keluarga mereka.

"Saya bangga dengan Jeffrey dan turut gembira dia dapat mengutip pengalaman berlumba dengan peluncur-peluncur terbaik dunia," katanya.

Bintang Austria, Marcel Hirscher muncul pemenang pingat emas dengan catatan masa 2:18.04s manakala peluncur Norway, Henrik Kristoffersen (+1.27s) dan Alexis Pinturault (+1.31s) dari Perancis meraih perak dan gangsa.

Jeffrey masih mempunyai baki satu acara iaitu slalom, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:28 PM