MUMTAZ.
MUMTAZ.
Fadhli Ishak

Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yakin Jeffrey ‘The Iceman’ Webb akan mengharumkan nama negara apabila beraksi dalam acara giant slalom lelaki di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang hari ini.

Bersaing di lapangan bertaraf dunia, Mumtaz berkata, beliau percaya peluncur cerun salji itu akan mempamerkan aksi terbaiknya di Yongpyong Alpine Centre.

Mumtaz bertanggungjawab memberikan gelaran Iceman kepada Jeffrey berdasarkan keupayaannya beraksi dalam cuaca sejuk.

“Dia akan mampu menyaingi lawan ternama tetapi saya percaya dia akan melakukan yang terbaik untuk negara dan dirinya. (Pyeongchang) akan menjadi permulaan yang baik buatnya di peringkat Olimpik dan masa depannya secara am,” kata Mumtaz.

“Dia gigih berlatih dengan jurulatihnya (Ryan Shorter) sejak tiba di sini. Dia memberitahu saya ia bergantung kepada keadaan pada hari pertandingan dan dia rasa sedikit gemuruh.

“Saya memberitahunya yang ia adalah perkara normal, terutama pada usia 19 tahun. Dia sudah melakukannya dengan baik setakat ini dan saya harap dia akan memberi persembahan terbaiknya esok (hari ini).”

Jeffrey layak ke temasya itu selepas beraksi cemerlang di Sukan Musim Sejuk Asia di Sapporo, Jepun Februari tahun lalu. Selain giant slalom, dia akan turut beraksi dalam acara slalom pada 22 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:48 AM