Jeffrey, yang dilahirkan di Kuala Lumpur namun berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya sejak berusia lima tahun, juga seorang yang amat gilakan kereta. FOTO Ihsan Instagram jeffrey_webb
Jeffrey, yang dilahirkan di Kuala Lumpur namun berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya sejak berusia lima tahun, juga seorang yang amat gilakan kereta. FOTO Ihsan Instagram jeffrey_webb
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Peluncur ski alpine negara Jeffrey Webb mendedahkan dalam kalangan makanan Malaysia, dia amat menyukai roti jala.

Atlet berusia 23 tahun itu, yang bertanding pada Sukan Olimpik Musim Sejuk kali kedua pada temasya Beijing 2022, menjawab pertanyaan peminat menerusi soal jawab di InstaStory miliknya.

"Makanan Malaysia paling disukai? Roti jala," jawabnya sambil memuat naik gambar roti jala berserta jawapannya itu.

Apabila dia pulang ke Kuala Lumpur, Jeffrey berkata, dia sering mengunjungi tiga tempat kegemarannya untuk menjamu selera.

"Mr Dakgalbi bagi makanan Korea, Paul (restoran bakeri Perancis) di Pavilion Kuala Lumpur, restoran Raju di Petaling Jaya terutama kerana roti canai terbaik," katanya.

Jeffrey, yang dilahirkan di Kuala Lumpur namun berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya sejak berusia lima tahun, juga seorang yang amat gilakan kereta, suka bermain gitar namun mengaku dia bukan seorang artis yang bagus.

Dia juga ditanya mengenai rutinnya di Beijing menjelang hari pertandingannya pada 16 Februari ini.

"Saya menjalani sesi latihan hampir setiap hari sebelum acara saya bermula," jawabnya yang akan turun beraksi dalam acara slalom lelaki di Pusat Ski Alpine Kebangsaan Yanqing.

Pada Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, Jeffrey mengakhiri aksi giant slalom di tangga ke-68 keseluruhan manakala dalam acara slalom, dia gagal menamatkan perlumbaan.

"Satu penghargaan berpeluang mewakili Malaysia pada aksi Olimpik kedua saya di Beijing. Saya tidak pernah terfikir menjadi Olimpian apatah lagi buat kali kedua.

"Terima kasih semua kerana kata-kata semangat yang menjadi dorongan buat saya. Saya harap lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang mengalami dan belajar mengenai sukan musim sejuk. Saya harap di sini saya boleh mencetus inspirasi kepada semua. Terima kasih semua, Malaysia Boleh!" tulisnya dalam satu perkongsian di laman sosial.

Jeffrey juga muncul peluncur ski pertama negara beraksi pada Sukan Asia Musim Sejuk 2017 di Sapporo, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:03 PM