NOR AZAM AZIH
NOR AZAM AZIH
Asrol Awang


PEMAIN tengah Pahang, Nor Azam Azih mengaku tidak beraksi pada prestasi terbaik terutama pada aksi pembuka tirai Liga Super bertemu Perak, pada 4 Februari lalu.

Namun dia yang membantu skuad muda negara melakar sejarah layak ke suku akhir Kejohanan Bawah 23 AFC di China baru-baru ini, sudah menemui rentak permainan seperti diharapkan.

Justeru, pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Pahang itu percaya komitmen tinggi daripada rakan sepasukan akan meletakkan skuad Tok Gajah pada kedudukan terbaik dalam saingan liga.

“Saya akui tidak dapat beraksi dengan baik pada pertemuan dengan Perak hingga ditegur jurulatih (Dollah Salleh) yang melihat prestasi serba tidak menjadi.

“Tetapi, saya menebusnya dengan prestasi lebih baik pada pertemuan dengan PKNS FC dan Kelantan, termasuk menjaringkan satu gol ketika menewaskan Kelantan 3-0.

“Ia adalah permulaan untuk memberi lebih keyakinan kerana aksi lebih sengit bakal menanti Pahang terutama pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor pada 24 Februari ini,” kata pemain berumur 23 tahun itu.

Mengulas empat mata yang diraih Pahang dalam saingan Liga Super, Nor Azam mengakui skuad Tok Gajah sudah berada pada landasan terbaik untuk kembali digeruni lawan.

Katanya, kemenangan pertama ketika menewaskan Kelantan 3-0 begitu bermakna buat skuad itu untuk kembali bersaing dengan pasukan teratas.

“Kami akan tampil dengan aksi lebih tersusun dan memastikan setiap perlawanan dengan membawa pulang tiga mata bukan saja di laman sendiri, malah di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 1:07 PM