PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli (dua dari kanan) dihalang tiga pemain Melaka United dalam saingan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Hang Jebat. -Foto RASUL AZLI SAMAD
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli (dua dari kanan) dihalang tiga pemain Melaka United dalam saingan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Hang Jebat. -Foto RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


EDUARDO Almeida lega apabila anak didiknya berjaya memperbaiki kesilapan ketika tewas kepada Selangor minggu lalu untuk bangkit menewaskan Negeri Sembilan (NS) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pengendali Melaka United (MU) itu berkata pemain berjaya meningkatkan keyakinan diri dan memperbaiki emosi dengan saling mempercayai antara satu sama lain untuk melakukan hantaran dan gerakan berpasukan.

Katanya, pada keseluruhan pemain berjaya menepati sasaran untuk memenangi perlawanan dan mereka bermain penuh komitmen selain menutup kelemahan di barisan pertahanan tengah dan serangan.

"Setiap pemain berhak untuk meraikan kejayaan di gelanggang sendiri. Corak permainan efektif menguasai permainan amat membanggakan.

"Jika situasi sama mampu dikekalkan, persembahan pasukan akan terus bertambah positif untuk memastikan kemenangan menjadi milik MU walaupun berdepan mana-mana pasukan,” katanya.

Sehubungan itu, Almeida mengharapkan aksi konsisten skuad Hang Tuah itu mampu dikekalkan termasuk ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin pada perlawanan keempat liga.

Gol kemenangan MU dicipta Yahor Zubovich (m-31 dan m-39) dan R Gopinathan pada minit ke-70.

Sementara itu, jurulatih NS, Jorg Steinebrunner, berkata pemain pertahanan bermain dengan baik, namun gol awal membabitkan kesalahan penjaga gol meletakkan MU selesa di depan pada babak pertama.

Katanya, anak buahnya cuba memberi tekanan kepada tuan rumah namun peluang yang diperoleh gagal diterjemah dengan jaringan.

"Kita akan memperbaiki corak permainan menjelang perlawanan berdepan Terengganu pada aksi berikutnya selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:50 AM