SKUAD Melaka United bimbingan Eduardo Almeida tidak memandang mudah cabaran Southern FC pada aksi Piala FA, esok. - Foto RASUL AZLI SAMAD
SKUAD Melaka United bimbingan Eduardo Almeida tidak memandang mudah cabaran Southern FC pada aksi Piala FA, esok. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


PEMAIN Melaka United (MU) diminta tidak memandang mudah cabaran Southern FC pada aksi Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, esok.

Pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata walaupun lawan dilihat pasukan 'underdog', namun ia bukan gambaran skuad Hang Tuah mudah melepasi halangan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata pelawat juga mampu melakukan kejutan terhadap skuad bimbingan jurulatih Eduardo Almeida itu jika pemain gagal fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

"Berikutan itu pemain perlu mengintai jaringan sepanjang tempoh perlawanan sambil menghalang lawan menjaringkan gol, sekali gus memastikan perlawanan tidak terheret ke masa tambahan.

"Jika aksi ke masa tambahan, pastinya Southern FC memperoleh suntikan motivasi untuk mencipta kejutan. Justeru, pemain perlu bijak menyelesaikan tugasan penting sepanjang 90 minit permainan.

"Mereka juga diingat supaya tidak bersikap sambil lewa, terlalu yakin dan perlu bertindak agresif sebaik permainan bermula," katanya.

Mohd Yusoff berkata, sasaran amat tinggi diletakkan kepada MU pada saingan Piala FA dengan pasukan mengintai peluang mara ke final dan menjulang piala berkenaan.

Namun, katanya, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan dengan misi perjuangan baru bermula menerusi perlawanan berkenaan.

Sementara itu, Almeida berkata, dia menyusun strategi agresif untuk perlawanan berkenaan dengan memastikan kemenangan menjadi milik MU.

"Pemain perlu mengikut apa yang direncana dalam memastikan barisan tengah lawan berjaya dihalang, sementara penggempur pasukan mampu menjaringkan gol dan barisan benteng kebal bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 9:32 PM