SATHIT (tengah) harap pemain terus berusaha dan tak patah semangat. -Foto fail
SATHIT (tengah) harap pemain terus berusaha dan tak patah semangat. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


BERKONGSI satu mata dengan Terengganu FC (TFC I) dianggap ‘tuah badan’ kepada pengendali Kelantan, Sathit Bensoh dalam perlawanan menentang pasukan itu bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Perkara itu dinyatakannya selepas corak persembahan anak buahnya malam tadi belum mencapai tahap sebenar susulan terdapat kelemahan di bahagian serangan selain banyak mensia-siakan peluang.

“Seri dalam perlawanan ini sudah cukup gembirakan saya dan ia dianggap satu tuah memandangkan permainan pasukan belum lagi mencapai tahap sebenar.

“Dari awal perlawanan lagi kita dihukum dengan jaringan awal pelawat dan dari situ sudah boleh ukur fokus pasukan.

“Saya akui masih banyak perlu diperbaiki terutama pada bahagian serangan yang nyata belum memuaskan...dua perlawanan sudah dilalui nyata serangan belum cukup menggerunkan lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Thailand itu,  tetap memuji pemainnya yang  tetap bersemangat yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan pasukan.

“Tiga perlawanan dalam satu minggu juga pasti akan memberi sedikit cabaran kepada semua pasukan serta pemain namun itu perlu kita tempuhi.

“Untuk perlawanan menentang Pahang Sabtu ini, saya mahu pemain terus berusaha dan tidak patah semangat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 1:56 PM