IOC tidak berpuas hati dengan  tadbir urus kewangan AIBA.
IOC tidak berpuas hati dengan tadbir urus kewangan AIBA.
Reuters

PYEONGCHANG: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberi amaran mungkin tidak mempertandingkan sukan tinju di temasya Olimpik 2020 Tokyo selepas tidak berpuas hati dengan tadbir urus kewangan badan induk sukan tinju itu.

Presiden IOC, Thomas Bach berkata, pihaknya sangat bimbang dengan cara Persatuan Tinju Amatur Antarabangsa (AIBA) diuruskan ketika ini sambil meminta mereka sedia melakukan perubahan.

“IOC berhak menilai semula acara tinju Olimpik Remaja 2018 dan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada media.

Bach berkata, IOC akan membekukan semua hubungan dengan AIBA kecuali “urusan peringkat tertinggi AIBA membabitkan keputusan dan pematuhan arahan IOC.”

AIBA dalam pada itu memaklumkan bahawa keputusan IOC itu ‘sangat memeranjatkan’ selepas pihak AIBA menyerahkan laporan kemajuan yang diminta.

Bach berkata, Lembaga Eksekutif IOC tidak berpuas hati dengan laporan dikemukakan AIBA dan mungkin memulakan siasatan ke atas badan induk berkenaan.

AIBA terbabit dalam pertikaian dalaman selama beberapa bulan tahun lalu yang menyaksikan bekas presidennya, CK Wu yang juga ahli majlis IOC digantung dan kemudian melepaskan jawatan November lalu selepas bertelagah dengan jawatankuasa eksekutifnya.

Ketika ini, AIBA menamakan Gafur Rahimov dari Uzbekistan sebagai presiden sementaranya selepas pemangku presiden, Franco Falcinelli juga meletak jawatan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:43 AM