SILVA ketika sesi latihan bersama pasukan Kedah.
SILVA ketika sesi latihan bersama pasukan Kedah.
Izzali Ismail

Alor Setar: Keputusan sama ada pemain import pertahanan Kedah Alvaro Silva dapat diturunkan atau tidak, hanya akan diketahui pada hari perlawanan Kedah menentang Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, hari ini.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote, beliau masih belum dapat memutuskan status pemain kelahiran Sepanyol itu untuk beraksi malam ini kerana perlu membuat penilaian sewajarnya.

“Kita sedar kita sangat perlukan khidmat Alvaro dimana kita terlepas peluang dan tidak dapat menggunakan khidmatnya pada perlawanan yang lepas sewaktu menentang JDT dimana kita tewas pada aksi pertama di Larkin.”

“Kini selepas menjalani rawatan dan tempoh pemulihan saya berharap dia kembali pulih dan bersedia untuk bersama pasukan dalam masa terdekat, cuma saya belum boleh memastikan keputusan samada beliau boleh diturunkan atau tidak dan ianya bergantung pada hari perlawanan iaitu esok (hari ini).”

“Saya juga tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk menurunkannya jika belum bersedia, namun jika sudah besedia beraksi, pastinya kehadirannya akan memperkukuhkan benteng di samping dapat menambahkan keceriaan buat penyokong Kedah yang mahu melihat aksinya di Stadium Darul Aman.”

Berkaitan corak permainan yang diamalkan pasukan Kedah, Marcote berkata mereka tetap akan mengamalkan corak permain sepertimana yang telah lama diterapkan iaitu ‘ball possesion’ dan yakin peningkatan yang sedang dilakukan akan memberi keputusan yang lebih baik secara keseluruhan perlawanan nanti.

“Kita harus bermain cara yang telah kita amalkan iaitu penguasaan bola dan melakukan gerakan yang lebih pantas dan tajam melalui jentera serangan.”

“Saya mahu pemain berasa selesa dengan cara permainan yang kita terapkan di dalam padang dan yakin dengan setiap pergerakan dalam misi memburu kemenangan kali ini.”

“Kita perlukan kemenangan pertama untuk menaikkan semangat dan menyuntik motivasi pasukan serta penyokong yang sentiasa mahu melihat perubahan dan peningkatan pasukan Kedah musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 9:36 AM