ANGELIQUE KERBER
ANGELIQUE KERBER
AFP

MELBOURNE: Bekas pemain nombor satu dunia yang juga juara 2016, Angelique Kerber melangkah ke pusingan kedua Terbuka Australia, tercicir hanya empat perlawanan untuk mencatat kemenangan selesa.

Menduduki tangga selaku pemain pilihan ke-21, pemain kidal itu muncul salah seorang paling menyerlah sebelum melangkah ke pertandingan Grand Slam pertama tahun ini dan mengalahkan rakan senegara dari Jerman, Anna-Lena Friedsam.

Angelique pantas memenangi set pertama 6-0 dalam tempoh 17 minit sebelum lawannya yang menduduki ranking ke-388 dunia itu bangkit mencabar.

Anna memberikan cabaran dalam empat perlawanan di Hisense Arena sebelum Angelique menutup peluangnya dengan kemenangan 6-4.

“Saya bermula dengan baik tetapi Anna semakin cemerlang,” kata Angelique yang bakal mencecah usia 30 tahun, Khamis ini.

“Saya hanya berusaha mencari mata demi mata terutama di hujung perlawanan dan seronok rasanya dapat bermain di pusingan seterusnya.”

Angelique mencuri tumpuan pada 2016 apabila muncul juara di Australia dengan mengalahkan Serena Williams di final sekali gus menjadi pemain Jerman pertama sejak Steffi Graf melakukannya pada 1999.

Dia menambah gelaran dengan memenangi Terbuka AS dan memulakan 2017 selaku pemain nombor satu dunia sebelum tergelincir ke tangga ke-21 di hujung musim.

Tetapi beberapa siri kemenangan di Piala Hopman bulan ini selain menamatkan kemarau 27 kejohanan dengan memenangi Kejohanan Antarabangsa Sydney - gelaran pertamanya sejak Terbuka AS - keyakinan Angelique dilihat semakin menyala.

Dia kini melakar 10 kemenangan berturut-turut dan ketika Serena dan kakaknya Venus serta juara Terbuka AS, Sloane Stephens sudah pun tersingkir, Angelique pasti berpeluang mara lebih jauh.

“Saya sudah mengucapkan selamat tinggal kepada 2017, saya tidak akan menoleh ke belakang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 12:27 PM