PEMAIN negara Safawi Rasid cuba melepasi kawalan pemain lawan
PEMAIN negara Safawi Rasid cuba melepasi kawalan pemain lawan
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


PENGENDALI Jordan, Iain Richard Brunskill mengakui kecewa dengan prestasi anak buahnya selepas hajat mereka untuk mencipta kemenangan berkecai dengan kebangkitan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) pada aksi kedua Kumpulan C di Stadium Changshu, China hari ini.

Jordan cukup yakin untuk memungut tiga mata daripada perlawanan ini selepas melihat skuad negara dibelasah Iraq 4-1 pada perlawanan pertama Rabu lalu.

Malah mereka bermula baik dengan jaringan Ward Helal Khalid pada minit ke-16 namun membenarkan skuad muda negara bangkit menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-43 untuk mencatat keputusan seri 1-1.

Brunskill mengakui, pemainnya hanya bermain pada separuh masa pertama dan keputusan seri 2-2 menentang Arab Saudi Rabu lalu nyata mempengaruhi mental mereka.

“Saya fikir selepas menyaksikan dua perlawanan ini, sejujurnya perlawanan menentang Arab Saudi memberikan tekanan kepada kami,” katanya.

“Ini kerana jika kami berjaya mengekalkan kelebihan dua gol awal (sebelum seri 2-2) pada perlawanan itu, kami tidak tertekan hari ini.

“Saya fikir pemain-pemain saya hanya ‘bermain’ di separuh masa pertama. Di separuh masa pertama, kami mengawal permainan, menjaringkan gol dan mencipta beberapa peluang.

“Malaysia pula memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak kedua.”

Menurut Brunskill, ketiadaan Baha’ Faisal Mohammad jelas memberikan kesan kepada pasukan apabila penyerang utama itu digantung dua perlawanan oleh AFC gara-gara masalah disiplin apabila menendang botol minuman kepada pegawai pertandingan selepas mereka terikat 2-2 dengan Arab Saudi.

“Ketiadaan Baha juga amat dirasai dan kini, kami berdepan ujian getir bertemu pasukan berkualiti, Iraq pada aksi terakhir kami (Selasa ini). Saya berharap kami dapat kembali bangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 8:26 PM