VICTORIA membalas pukulan ketika menentang Heather Watson dari Britain. Foto Agensi
VICTORIA membalas pukulan ketika menentang Heather Watson dari Britain. Foto Agensi
AFP

MELBOURNE: Bekas juara Victoria Azarenka, yang dibelenggu masalah perebutan penjagaan anak lelakinya, menarik diri daripada Terbuka Australia hari ini.

Juara dua kali itu diberikan tiket wildcard untuk beraksi pada kejohanan pembuka tirai Grand Slam tahun ini di Melbourne yang bermula 15 Januari depan namun tidak akan membuat kunjungan itu.

“Malang sekali Azarenka tidak dapat berkunjung ke Australia tahun ini,” kata pengarah kejohanan Craig Tiley menerusi akaun Twitter.

“Terbuka Australia adalah kejohanan kegemarannya dan dia tidak sabar untuk kembali ke Melbourne tahun depan.”

Victoria kembali daripada cuti bersalin pada pertengahan tahun lalu namun tidak menyertai Terbuka AS selepas hakim di Los Angeles menegaskan dia tidak boleh meninggalkan California susulan kes penjagaan anak lelakinya Leo hinggalah kes itu selesai.

Dia diragui akan hadir di Melbourne Park selepas menarik diri daripada kejohanan Klasik Auckland minggu lalu.

Pemain Belarus itu bintang ternama terbaru menarik diri daripada Terbuka Australia.

Serena Williams, yang baru bergelar ibu, memilih untuk menarik diri minggu lalu apabila menyatakan dia tidak berada di tahap diperlukan bagi kejohanan utama selepas melahirkan bayi.

Andy Murray dan Kei Nishikori turut tidak bertanding selepas mengalami kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 12:43 PM