GAYA Victoria selepas menewaskan Elise di New York. FOTO AFP
GAYA Victoria selepas menewaskan Elise di New York. FOTO AFP
AFP

VICTORIA Azarenka dari Belarus mudah menewaskan pemain Belgium, Elise Mertens untuk mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan satu jam 13 minit mengatasi cabaran pilihan ke-16 itu dengan straight set 6-1, 6-0 di Stadium Arthur Ashe.

"Kemenangan yang bagus,'' kata Victoria. "Saya rasa seperti saya menjadikan gelanggang itu lebih besar buatnya, ia menjadi hari ini,'' katanya.

Elise, 24, gagal memegang servis dan hanya menang 19 peratus daripada mata pada servis kedua selain melakukan 23 kesilapan berbanding Victoria 11.

"Pelan saya semuanya menjadi, saya menggunakan kepantasan, kekuatan bola dan pelbagai variasi yang membuatkan dia hilang kawalan,'' kata Victoria.

Juara dua kali Grand Slam itu akan kembali menyambung permusuhan dengan Serena Williams dalam aksi empat terakhir. Serena menewaskan Victoria pada final Terbuka AS 2012 dan 2013.

Pemain Belarus itu berpeluang menamatkan penantian tujuh tahun untuk gelaran Grand Slam ketiga di Flushing Meadows.

Sementara itu, pilihan kedua Dominic Thiem menewaskan pilihan ke-21, Alex de Minaur dari Australia untuk mara ke separuh akhir perseorangan lelaki.

Pemain Austria itu menang 6-1, 6-2, 6-4 dalam masa 2 jam 4 minit di Stadium Arthur Ashe dan akan menentang pilihan ketiga dari Russia, Daniil Medvedev yang menewaskan Andrey Rublev 7-6 (8/6), 6-3, 7-6 (7/5) .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 11:22 AM