BARISAN pemain dan jurulatih tiba di hotel di Melbourne sebelum perlu menjalani kuarantin selama dua minggu menjelang saingan Terbuka Australia. FOTO AFP
BARISAN pemain dan jurulatih tiba di hotel di Melbourne sebelum perlu menjalani kuarantin selama dua minggu menjelang saingan Terbuka Australia. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Ketua Terbuka Australia, Craig Tiley menegaskan kejohanan berstatus Grand Slam itu tetap akan diteruskan mengikut jadual pada bulan depan.

Kejohanan itu mencetuskan huru-hara apabila tiga individu disahkan positif Covid-19 membabitkan dua daripada 17 penerbangan khas yang membawa pemain ke Melbourne dan Adelaide.

Ketiga-tiga individu itu bukan pemain tetapi salah seorang daripadanya adalah Sylvain Bruneau, jurulatih pemenang Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2019, Bianca Andreescu.

Setiap mereka yang berada dalam penerbangan sama dikategorikan sebagai kontak rapat dan diarahkan untuk tidak meninggalkan hotel bagi menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

Ini bermakna, 47 pemain tidak dibenarkan untuk turun berlatih selama lima jam sehari sepertimana yang dipersetujui sebelum ini menjelang aksi pembukaan Grand Slam tahun ini yang akan bermula 8 Februari depan.

Antaranya termasuklah Victoria Azarenka, Sloane Stephens, Kei Nishikori dan Angelique Kerber sekali gus menjejaskan persiapan mereka.

"Kami sentiasa sedar akan terdapat risiko yang berkaitan dengan pandemik ini," kata Tiley kepada stesen televisyen Channel Nine.

"Tapi Terbuka Australia tetap akan diteruskan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk setiap pemain."

Beberapa pemain termasuk Sorana Cirstea dan Belinda Bencic meluahkan perasaan tidak puas hati mereka di media sosial kerana tidak dapat menjalani latihan selain kurang senang apabila tidak dimaklumkan lebih awal berhubung peraturan yang sangat ketat jika terdapat kes positif Covid-19.

"Jika mereka memberitahu kami segala peraturan sebelum ini, saya tidak akan beraksi di Australia," kata Cirstea di akaun Twitter miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 11:49 AM