CHENG Hoe (kiri) tekad balas kembali kepercayaan Tunku Ismail. -Foto fail
CHENG Hoe (kiri) tekad balas kembali kepercayaan Tunku Ismail. -Foto fail
Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menganggap ‘lesen besar’ yang diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepadanya dalam membentuk pasukan Harimau Malaya sebagai satu penghormatan.

Justeru, bekas pengendali Kedah itu menjelaskan, sekarang adalah masa untuk beliau membalas kembali kepercayaan yang diberikan Tunku Ismail dengan memberi keputusan positif.

“Ia satu penghormatan daripada Tunku Ismail apabila memberi kebebasan kepada saya untuk memilih pemain yang akan mewakili negara pada masa akan datang.

“Namun, selaku jurulatih saya perlu bekerja keras untuk memacu pasukan ini ke tahap yang lebih baik,” katanya yang secara rasmi dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada pada 7 Disember lalu.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan Cheng Hoe diberikan kebebasan penuh untuk membentuk pasukan termasuk memilih pembantunya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM, Sabtu lalu.

Cheng Hoe sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Vingada yang melepaskan jawatan pada 6 Disember lalu selepas gagal memberi impak positif dalam skuad kebangsaan.

Vingada mencatat rekod buruk apabila gagal meraih sebarang kemenangan sepanjang tujuh perlawanan Harimau Malaya di bawah kendaliannya termasuk tersingkir daripada kelayakan Piala Asia 2019.

Mengulas mengenai tugas berat untuk memulihkan kembali reputasi Harimau Malaya, Cheng Hoe mengakui sudah bersedia berdepan segala cabaran termasuk kritikan.

“Itu (kritikan) terpulang pada media atau penyokong nak bagi benda yang positif atau tidak, tapi bila saya terima jawatan itu, saya perlu hadapi apa saja perkara sama ada yang baik dan tidak baik.

“Tujuan utama saya untuk membimbing pasukan negara ke satu tahap yang terbaik berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini tiada apa-apa perancangan lagi untuk skuad Harimau Malaya kerana masih terlalu awal dan Liga Malaysia pun belum bermula lagi. Tapi sudah pasti saya perlu ada perancangan terbaik untuk tahun 2018.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 5:32 PM