WASIU (dua dari kiri) sah sertai TFC II. -Foto Agensi
WASIU (dua dari kiri) sah sertai TFC II. -Foto Agensi
Faizul Azlan Razak


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) mengesahkan mengikat penyerang berbisa, Akanni-Sunday Wasiu untuk mengetuai jentera serangan menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Bekas penyerang sensasi UiTM FC itu menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.

Ketua jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Wahab berkata, kehadiran penyerang berusia 33 tahun itu memberi kekuatan kepada pasukannya terutama di bahagian serangan.

Menurutnya, pemain import dari Nigeria itu sudah membuktikan dia antara penyerang digeruni dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika menyarung jersi UiTM FC.

“Sudah pasti kehadiran Sunday sedikit sebanyak memperkuatkan pasukan di jentera serangan apatah lagi TFC II dibarisi rata-rata pemain muda musim depan.

“Tugas saya sekarang mengenal pasti penyerang tempatan yang akan digandingkan dengan Sunday di bahagian depan TFC II,” katanya.

Mustaffa berkata, pasukannya akan diperkuatkan seorang lagi awang import mungkin untuk mengisi posisi pertahanan.

“Sebelum ini kami mahu mendapatkan pemain pertahanan kelahiran Brazil yang beraksi dalam Liga Perdana, namun gagal mencapai kata putus.

“Jadi, kami sudah kenal pasti pemain dari Haiti dan menunggu keputusan sama ada menerima tawaran menyertai TFC II atau tidak dalam masa terdekat,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:12 PM